Mengapa Taman Negara Merupakan Medium Team Building Terbaik?

Dalam usaha kita untuk mengubah sesuatu, mestilah dimulakan dengan kesedaran. Kesedaran ini boleh dimulakan dengan merasakan sendiri pengalaman sebenar sesuatu proses.

Setiap organisasi yang kukuh dan berjaya adalah hasil dari kesatuan pasukan yang kukuh dan budaya bekerja berpasukan yang efektif. Seperti semut, di mana mereka mempunyai ahli yang sangat ramai namun sistematik dan setiap ahli mempunyai peranan masing-masing.

Membawa pasukan anda kembara ke alam semula jadi dapat mengembalikan fitrah jiwa, dapat menghirup udara bersih serta menyegarkan fizikal, mental dan rohani.

Taman Negara Pahang adalah lokasi alam semula jadi terbaik untuk aktiviti team building anda. Tahap cabaran yang wujud di setiap sudut juga berbeza untuk setiap lokasi bergantung kepada target dan kemampuan peserta.

Terdapat banyak jenis aktiviti bersama alam semula jadi yang boleh memberikan pengalaman yang efektif dalam mendidik kesedaran. Anda boleh dapatkan pakej semua dalam satu di Taman Negara di mana semua yang anda perlukan, ada di sini.

Selain dari kehijauan persekitarannya yang menyegarkan, aktiviti yang disediakan bakal memerlukan anda bergerak dan bertindak sebagai sebuah pasukan.

Antara proses yang terlibat dalam pembentukan pasukan yang efektif adalah seperti berikut:-

1. Memahami objektif, misi dan visi sesebuah pasukan.

2. Membuat perancangan.

3. Pembahagian peranan dan tugas kepada setiap ahli.

4. Menjaga kebajikan setiap ahli.

5. Mendidik sikap amanah, disiplin dan bertanggungjawab.

6. Menanam rasa empati terhadap sekeliling.

Aktiviti seperti berkhemah, mendaki gunung, meneroka hutan dan gua-gua, merentas jeram, melawat perkampungan orang asli, berkelah dan menikmati keindahan alam, mampu mengharmonikan suasana hubungan antara individu melalui pengalaman yang menyeronokkan walaupun penat dan mencabar. Di samping itu, dapat membina kemahiran untuk saling bekerjasama bagi memastikan objektif aktiviti tercapai dan keselamatan dipelihara.

Sekali anda alami pengalaman pertama di Taman Negara ini, pastinya anda akan mahu datang sekali lagi. Kepuasan dan pengalaman yang anda rasakan di akhir ekspedisi, akan membentuk suasana dan perasaan yang baru di tempat kerja anda.

3 Aktiviti di Taman Negara yang mampu Membentuk Pasukan Yang Efektif

Latihan membentuk pasukan boleh membantu memupuk kemahiran komunikasi dalam kalangan ahli pasukan. Ia juga dapat membina kemahiran bekerjasama yang sangat baik.

Alam semula jadi boleh menjadi ruang pelbagai fungsi untuk melakukan aktiviti team building. Ia juga menyediakan suasana yang berbeza dari pejabat dan santai untuk ahli kumpulan saling berinteraksi serta untuk mengenali satu sama lain. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di dalam persekitaran alam semula jadi yang tidak boleh didapati di bandar.

Taman Negara Pahang adalah lokasi yang bagaikan pakej semua dalam satu. Ia mempunyai kehijauan, bersama kembara dan aktiviti yang memerlukan kerjasama ahli kumpulan, disamping kemudahan yang disediakan bagi mengoptimumkan lagi pengalaman team building anda.

Antara aktiviti di Taman Negara yang membina team building yang efektif adalah seperti:-

 

1. Ekspedisi hutan (jungle trekking) di Bukit Teresek dan Titian Kanopi

Dalam aktiviti ini, anda berpeluang membuat perancangan dan pembahagian tugas bagi memasang khemah, menghidupkan api, menyediakan makanan dan memanfaatkan sumber alam semula jadi.

 

2. Ekspedisi mendaki Gunung Tahan

 

Membentuk pasukan bagaikan mendaki sebuah gunung. Puncak gunung adalah misi yang ingin dicapai. Perjalanan sepanjang pendakian adalah proses yang perlu dilalui oleh semua ahli pasukan. Adalah sangat penting untuk semua ahli jelas akan misi dan jangkaan yang ingin dicapai bersama. Sepanjang proses, ahli harus saling membantu bagi mencapai puncak (misi) bersama dengan selamat. Dalam proses ini juga akan melibatkan peranan yang berbeza dari setiap ahli seperti mengurus pasukan, membawa peralatan khas, membawa peta atau GPS, menjaga masa, dan sebagainya.

 

3. River rafting di Taman Negara Kuala Tahan

 

Keistimewaan aktiviti ini adalah peserta harus bekerjasama untuk menempuh cabaran dari air sungai yang  deras dan melalui celah-celah batu yang besar. Aktiviti ini sangat menyeronokkan kerana di sini anda dapat belajar mengawal keseimbangan bot, disamping menjaga keselamatan satu sama lain demi memastikan bot tidak terbalik dan sampai ke destinasi dengan jayanya.

 

Bak kata pepatah Melayu, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Pasukan yang kuat dan efektif adalah pasukan yang saling memahami dan saling membantu tanpa rasa penting diri demi mencapai misi dan visi yang sama.

 

Peranan Alam Semula Jadi Dalam Team Building

Persekitaran kita adalah lubuk pelajaran hidup untuk manusia pelajari dan aplikasikan di dalam hidup, membentuk ia sebagai prinsip peribadi atau pun prinsip semasa bekerja bersama individu yang lain. Ilmu dari alam semula jadi dapat digunakan ke dalam kerjaya dan membangunkan sesebuah pasukan (team building).

Dengan membawa aktiviti membina pasukan (team building) masuk ke dalam persekitaran alam semula jadi mampu mengembalikan semula fitrah diri setiap individu untuk berfungsi kepada tahap yang lebih optimum.

 

Manfaat Dari Alam

Dengan kembali kepada fitrah dunia dapat mengenepikan hiruk-pikuk bandar untuk sementara waktu, membenarkan diri kita mengakses diri dalaman, menikmati kehidupan saat kini seterusnya mencetuskan perasaan selesa dan tenang. Keadaan inilah yang membenarkan kita untuk melihat semula dunia dalam perspektif yang berbeza dan lebh segar.

Di dalam kesibukan kita kini yang berperang dengan kesibukan trafik, berkejaran menyiapkan kerja di pejabat, otak yang sentiasa memikirkan penyelesaian tugasan tidak kira masa, tidur yang terganggu, kepenatan akibat pulang lewat ke rumah, tidak memberikan kita banyak peluang untuk kita duduk sebentar dan bertenang. Kurang peluang untuk kita kosongkan fikiran sebentar untuk lihat dunia dari perspektif yang lebih besar.

Apatah lagi dengan keperluan dunia sekarang yang memaksa kita untuk sentiasa berdamping dengan telefon bimbit kerana notifikasi yang berterusan masuk.

Maka kerana situasi inilah, menjadi sebuah keperluan untuk kita berganjak keluar seketika dari segala kesibukan ini, dari pejabat, dari suasana kerja dan mula membina hubungan yang sebenar dengan manusia lain; hubungan mata, belajar memahami bahasa tubuh seseorang, dapa merasa emosi orang lain, empati, dalam reaksi kita berkenaan hubungan kita dengan seseorang.

Ia seperti, memutuskan hubungan dengan sesuatu untuk berhubung dengan sesuatu yang lain. Alam semula  jadilah penyambung anda kepada sesuatu yang lain itu.

Peranan alam semulajadi dalam membina pasukan (team building) yang hebat adalah sangat besar. Ia dapat menundukkan ego, membuka hati untuk lebih memahami dan menanggalkan rasa pentingkan diri supaya lebih bersifat empati untuk saling membantu satu sama lain.