Bercuti di Taman Negara

Bercuti di Taman Negara

Sudah lama kami rancang ingin bercuti di Taman Negara. Kali ini kami memilih Taman Negara Pahang sebagai lokasi percutian kami sekeluarga. Selepas meneliti beberapa laman web dan tips melancong berkenaan Taman Negara Pahang, kami membuat keputusan untuk memilih Asia Camp Resort sebagai pilihan tempat penginapan kami.

Untuk makluman di Taman Negara terdapat beberapa pilihan penginapan bergantung kepada citarasa dan budget masing-masing seperti Mutiara Taman Negara, Xcape Resort, Danz Eco Resort, Mat Leon Village, Teresek Motel dan beberapa lagi.

Kami memilih mengambil pakej penuh 3 hari 2 malam di mana semua telah diaturkan dan diuruskan oleh pihak Resort, lebih memudahkan kerana ini pertama kali kami menjejaki kaki ke Taman Negara. Tak sabar rasanya untuk kami ekplorasi hutan tertua di dunia dan sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia. Berikut kami senaraikan pengalaman kami, mana tahu ada yang berminat, jadi memudahkan anda merancang percutian anda.

Percutian kami kali ini lebih kepada aktiviti trekking dan aktiviti air, jadi kami memastikan beg hiking kami dimuatkan dengan pakaian, kasut hiking dan pakaian untuk basah. Jangan lupa yer bawa bag hiking yang kecil bagi memudahkan membawa air minuman semasa hiking dan waterproof beg untuk menyimpan barangan elektronik semasa aktiviti menaiki bot, kerana kami difahamkan semasa aktiviti bot anda akan basah habis.

Hari Pertama

09.00 pagi           –              Kami bertolak dari Kuala Lumpur dengan mengikut lebuh raya pantai timur menuju ke Kuantan. Kami keluar tol Temerloh dan menuju ke Jerantut.

01.00 t/hari        –              Makan tengah hari di bandar Jerantut. Terdapat banyak pilihan kedai/gerai makan samada di depan masjid besar Jerantut tepi jalan atau bandar Jerantut.

02.00 petang      –              Kami meneruskan perjalanan selepas mengambil sedikit tunai belanja kerana kami difahamkan tiada bank atau mesin ATM di sana serta mengisi penuh minyak kereta (Tiada stesen minyak di Kuala Tahan, Taman Negara) lebih kurang 1 jam dari Jerantut dengan mengikut laluan ke Padang Piol dan Merting (Mudah sekarang guna jer Maps taip Asia Camp Resort)

03.15 petang      –              Sampai di Resort dan kami disambut oleh kakitangan bahagian hadapan dengan ramah. Kami diberi taklimat ringkas tentang Resort, Kawasan sekeliling dan program kami.

AsiaCamp Taman Negara

Kerana kami sekeluarga berlima, kami diberi bilik family yang mempunyai 1 katil King dan 3 katil single. Bilik Chalet kayu yang luas dengan pemandangan gunung dan bukit yang mendamaikan. Kami difahamkan Chalet yang mengadap sungai adalah Chalet untuk berdua dan bertiga sahaja. Sebab kami memilih Asia Camp Resort adalah kerana ianya terletak bersebelahan dengan sungai Tembeling dan banyak kedai kedai runcit berdekatan Resort.

Makan malam kami disediakan jam 07.30 malam, dan kami bersiap dengan pakaian untuk aktiviti ‘Night Jungle Walk’ yang bermula jam 08.30 malam. Oh ya..jangan lupa membawa lampu suluh atau lampu suluh kepala untuk aktiviti malam. Selepas makan malam, kami dibawa menaiki pacuan 4 roda ke tempat pertemuan dengan Pemandu Pelancong kami. Perjalanan lebih kurang 10 minit tidak terasa dengan angin malam yang nyaman semasa kami duduk di belakang pacuan 4 roda (disediakan kerusi besi Panjang).

Kami diperkenalkan dengan Pemandu Pelancong kami dan kami digabungkan dengan 2 keluarga warga asing, 1 keluarga bertiga dari German dan 1 keluarga berempat dari Holland. Pemandu Pelancong memberi taklimat ringkas dalam 2 bahasa, iaitu English dan Bahasa Melayu. Memberi penerangan tentang keselamatan yang perlu diberi perhatian semasa aktiviti jalan malam.

Dengan menaiki sampan crossing lebih kurang 2-3 minit menyeberangi sungai kami menuju ke Pejabat Perhilitan, Pemandu Pelancong menunjukan peta laluan yang akan kami lalui malam ini dan trekking esok pagi. Malam ini perjalanan lebih kurang 500-600 meter sehala dan esok 1.2Km sehala.

Night Walking

Aktiviti jalan malam lebih memberi tumpuan kepada hidupan serangga, di mana diwaktu malam ia aktif keluar mencari makan. Malam itu kami jumpa labah-labah besar (Bird Eating Spider), serangga kayu, Kala Jengking, ulat gonggok yang saiz besar. Kami meneruskan perjalanan menuju ke Tahan Bumbun, tempat meninjau binatang. Pemandu Pelancong memaklumkan kalau bernasib baik akan dapat melihat Tapir, Kijang, Kancil, Khinzir dan landak. Nasib kami kurang baik malam itu hanya sang kancil yang muncul mungkin kerana terdapat beberapa lagi pelancong yang telah awal sampai di sana. Kami berjalan balik semula ke Jeti dan Pemandu Pelancong telah memaklumkan kepada pihak Resort untuk mengambil kami balik ke Resort. Terdapat beberapa buah Restaurant Terapung di Jeti Kuala Tahan, sambil menunggu kenderaan Resort, kami sempat minum dulu di salah satu restaurant terapung tersebut.

Hari Kedua

Hari kedua kami bersarapan lebih kurang Jam 8.00pagi (Sarapan disediakan dari Jam 7.30 pagi – 10.30 pagi). Disebabkan kami telah diberi taklimat tentang aktiviti selama 3 hari 2 malam, kami telah siap memakai pakaian trekking dan membawa bag hiking yang dimuatkan dengan pakaian untuk basah nanti, bag kalis air kecil dan selipar.

Canopy Walkway

Dengan menaiki pacuan 4 roda, kami dihantar ke jeti tempat sama semalam di mana pemandu pelancong kami telah menanti kami Bersama keluarga German dan Holland semalam. Dengan menaiki bot menyeberangi sungai, kami menuju ke kaunter Jabatan Perhilitan bagi urusan pembelian permit masuk, tiket canopy walkway, dan lesen kamera. Setelah diberi taklimat ringkas untuk aktiviti hari ini, kami bergerak menuju ke Bukit Teresek yang terletak lebih kurang 1Km dari kaunter Jabatan Perhilitan, sepanjang jalan disediakan ‘walk board’ bagi memudahkan lagi aktiviti trekking kami pada hari itu. Sepanjang perjalanan pemandu pelancong menerangkan tentang flora dan fauna. Kami diberi penerangkan tentang jenis/nama pokok dan juga tumbuhan herba.

Bukit Teresek

Penat juga mendaki tangga lebih kurang 100 meter menuju ke Bukit Teresek, namun bila sampai di puncak kepenatan itu berbaloi dengan terbentangnya pemandangan Gunung Tahan yang  amat indah, serta cuaca yang baik hari ini, kami dapat melihat jelas bukit bukau dan gunung ganang sekeliling puncak Gunung Tahan. Pemandu Pelancong memaklumkan ambil masa 7 hari pakej mendaki Gunung Tahan.

Kami meneruskan perjalanan kami dengan menuruni tangga tadi lebih kurang 500 meter menuju ke Jambatan Gantung (Canopy Walkway yang amat popular). Bila sampai kami kena menunggu giliran untuk menaiki Jambatan Gantung, ini adalah kerana setiap masa hanya seorang pengunjung dibenarkan berjalan di atas Jambatan Gantung dengan Jarak 10 meter setiap orang. Sambil menunggu giliran saya berborak dengan pelancong dari German dan Hollad tadi dan mereka memaklumkan bahawa Canopy Walkway di Taman Negara Pahang amat popular dan boleh dikatakan hampir semua orang German dan Holland mengetahuai tentang Canopy Walkway ini dari media social, TV dan signboard yang dipamirkan di negara mereka. Terasa bangga saya kerana Malaysia dikenali dunia sebagai pusat pelancongan, terima kasih Kemeterian Pelancongan Malaysia yang memainkan peranan dalam mempromosi Malaysia kepada mata Dunia. Mereka juga memaklumkan untuk melawati banyak tempat menarik di Malaysia mereka akan menghabiskan masa lebih kurang 10 – 14 hari bercuti di Malaysia dan kebiasaannya mereka akan bercuti dalam bulan Jun – Ogos semasa ‘Summer Holiday’.

Giliran kami telah sampai dan saya memberi laluan kepada kawan baru saya dari German dan Holland untuk menaiki Jambatan Gantung, bila sampai giliran saya baru terasa sedikit serum dan gayat bila meniti jambatan gantung. Kami dimaklumkan bahawa pemeriksaan ketat dan kerap dilakukan oleh Pihak Jabatan Perhilitan ke atas Jambatan Gantung bagi memastikan tahap keselamatan berada di tahap maksimum. Jarak laluan yang dibuka hari itu adalah lebih kurang 320 meter, Panjang keseluruhan Jambatan Gantung adalah 520 meter, namun ada masa sebahagian terpaksa ditutup untuk kerja-kerja pemeriksaan dan baik pulih sekiranya berlaku kerosakan.

Selepas semua kumpulan kami menaiki Jambatan Gantung, kami dibawa turun 100 meter ke jeti Canopy untuk menaiki sampan kayu Panjang berbumbung menuju ke Perkampungan Orang Asli. Sampan mudik naik menuju ke Kawasan teduh tepi sungai untuk menikmati makan tengah hari kami di dalam sampan yang telah dibungkus oleh pihak yang menguruskan pakej kami, ini merupakan kelebihan mengambil pakej penuh, semua teratur kemas.

Perkampungan Orang Asli Dedari

Lebih kurang jam 2.30petang selepas selesai makan tengah hari, kami meneruskan perjalanan mudik naik ke perkampungan Orang Asli Dedari. Sampan melalui beberapa jeram dan pastinya anda akan basah bila sampan melalui jeram, jadi bersiap sedia lah dengan beg kalis air untuk meletakan handphone anda dan juga kamera anda. Perjalanan dari tempat makan lebih kurang 15 minit dan sampai ke perkampungan Orang Asli Dedari yang terletak 50 meter di tepi sungai. Kami diberitahu oleh Pemandu Pelancong bahawa terdapat banyak Kampung Orang Asli di sini namun hanya 2 perkampungan yang dilawati oleh Pengunjung, ini adalah kerana orang asli di sini dari kaum Batek amat pemalu dan penyendiri.

Kami menuju ke pondok yang disediakan oleh orang asli yang diperbuat daripada kayu hutan (Kayu tikus), beratap nipah dan kerusi Panjang diperbuat dari batang kayu pokok hutan. Pondok ini disediakan bagi tujuan pertunjukan menyumpit dan menyalakan api cara orang asli.

Kami diperkenalkan dengan Tok Batin Kampung Dedari iaitu Tok Sena yang berbahasa belayu dan sedikit English, Tok Sena memaklumkan bahawa Bahasa English sikit-sikit beliau pelajari dari pelancong asing yang datang melawat kampung beliau. Baru 5 minit bertemu dan berbual dengan beliau terasa rapat dengan kemesraan yang ditunjukan oleh Tok Sena.

Tok Sena memaklumkan bahawa satu perkampungan Orang Asli tidak ramai keluarga, kebiasaannya dalam 5-9 keluarga sahaja di setiap perkampungan. Mereka selalunya akan berpindah randah sekirannya sumber makanan telah berkurangan atau ada kematian. Kami diberi penerangan penuh oleh Pemandu Pelancong kami tentang suku kaum Batek ini, adat resam, majlis berkahwin, bersalin dan cara hidup. Sumber makanan lain adalah dengan memburu menggunakan sumpit atau lembing dan hasil buruan akan dikongsi makan bersama.

Tok Sena menunjukan cara-cara sumpit diperbuat dari buluh kecil Panjang dan mempunyai beberapa bahagian. Tok Sena menunjukan cara-cara anak sumpit dibuat iaitu dari lidi daun nipah yang ditajamkan dan bahagian kepala anak sumpit menggunakan batang kayu tepus yang memang ringan. Lidi dilekatkan ke kepala anak sumpit dengan menggunakan gam original dari hutan iaitu getah pokok tepus yang dipanaskan dengan menghidupkan api. Tok Sena menggunakan rotan dan kayu meranti untuk menghidupkan api. Caranya ….anda kena datang sendiri untuk melakukan dan mempelajarinya…kikiki…adat orang asli, tak pandai hidupkan api tak boleh kahwin..membujang la kau..kikiki… Kami berpeluh juga ler mencuba hidupkan api cara orang asli.

Menyumpit dengan Buluh

Dengan menggunakan ‘Teddy Bear’ sebagai ‘Shooting Target’, Tok Sena mensasarkan buluh sumpit beliau yang panjangnya lebih kurang 2 meter dan…..dah isteri 3 mesti la tepat..kikiki… Sekarang giliran kami semua pula mencuba menyumpit target sambil dibantu oleh Tok Sena bagi memastikan cara betul dan sasaran tepat. Tok Sena memaklumkan bahawa dengan Teknik yang betul boleh menyumpit sehingga jarak 100 meter ke atas pokok.

Selepas itu kami bersama Pemandu Pelancong berjalan sekeliling kampung sambil melawat pondok-pomdok mereka, terdapat 8 keluarga tinggal di sini. Nasib baik anak saya ada membawa coklat dan gula-gula, kami gunakannya untuk memanggil anak-anak orang asli keluar dari pondok mereka, mereka amat malu untuk berjumpa dengan pengunjung.

Selepas bergambar dengan penduduk orang asli, kami turun menuju ke sampan kami untuk aktivit Rapid Shooting. Semua barangan elektronik kami masukan ke dalam beg kalis air yang kami bawa, menukar kasut hiking ke selipar. Pemandu Pelancong memasukkan kesemua beg dan kasut hiking kami ke dalam plastic sampah hitam besar dan diletakan di hujung sampan bagi mengelakkan terkena air semasa aktiviti tersebut. Ini menjadikan perancangan kami bercuti di Taman Negara satu pengalaman yang berbaloi.

Rapid Shooting

Sampan kayu mengharungi jeram semasa turun ke jeti kuala tahan, dengan melalui Kawasan jeram yang berombak menyebabkan air merecik masuk dan membasahi kami semua. Sungguh seronok selepas seharian berjalan di pengakhiran disimpan oleh kesejukan air sungai Tembeling. Rapid Shooting adalah satu aktiviti yang amat menyeronokan, anak-anak saya dan anak-anak pelancong bergelak ketawa sehingga selesai aktiviti.

Kami sampai di jeti Kuala Tahan lebih kurang jam 5 petang dan kenderaan dari Asia Camp Resort telah menanti kami. (Pemandu Pelancong telah menghubungi Resort sebelum sampan sampai di jeti). Baru ler saya faham kenapa kebanyakan kenderaan Resort yang digunakan untuk mengambil pelancong menggunakan pacuan 4 roda ‘Single Cab’ yang disediakan kerusi besi Panjang di belakang. Dalam keadaan kami yang basah lencun memang sesuai duduk di belakang sambil menikmati pemandangan kampung sepanjang perjalanan balik.

Lata Berkoh

Makan malam kami minta dilewatkan sedikit iaitu pada jam 8.00malam kerana terasa amat letih sepanjang hari berada di luar. Selepas mandi kami berehat di beranda bilik sambil minum kopi menikmati keindahan ciptaan illahi bukit bukau yang indah, anak-anak tidur keletihan. Semasa makan malam kami dimaklumkan oleh kakitangan Front Office bahawa masih terdapat aktiviti yang boleh kami belum kami buat iaitu lawatan ke Lata Berkoh dan memberi ikan Kelah Makan (Kelah Sanctuary) dengan menaiki boat dan aktiviti malam iaitu ‘Night Safari by 4Wd’ atau ‘Night River Safari by Boat’, namun kami membuat keputusan untuk berehat malam ini dan menikmati keindahan waktu malam dari meja makan kami yang menghadap sungai dan hutan Taman Negara.

Patin Ikan Salai

Selepas sarapan pagi, lebih kurang jam 10.00 pagi kami bergerak balik ke Kuala Lumpur dan singgah di tepi jalan sebelum masuk tol Temerloh untuk membeli ikan patin salai yang dijual di gerai-gerai sepanjang jalan. Disebabkan anak-anak mempunyai perancangan lain pada petang itu kami membatalkan hasrat untuk melawat tempat penjagaan Gajah (Elephant Sanctuary) dan lawatan ke Ladang Rusa (Deer Farm) yang terletak di Kuala Gandar, Cuma 30 minit perjalanan dari Tol Lanchang.

Kesimpulannya kami merasa amat menikmati dan seronok sepanjang percutian di Taman Negara Pahang. Kunjungan saya berikutnya yang saya rancangan adalah pakej Memancing Kelah di Sungai Keniam bersama kawan2, Pemandu Pelancng telah menceritakan sambil menunjukan gambar semasa beliau memancing di Sungai Keniam. Jom bercuti di Taman Negara!.

Dinasihatkan agar program kita berjalan lancar, ambil pakej penuh dan dengan Resort/Travel Agent yang dipercayai dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan. Percutian kita akan lebih teratur dan tersusun dan yang pentingnya…..”KITA ENJOY’…..

 

Nukilan –             Shamsul Baharin dan Keluarga

Batu 5, Jalan Ipoh

Kuala Lumpur